Monday, December 7, 2009

Aisyah Chan Mei Lei 3

[link]

“Kalau kamu buat baik sekarang, nanti kamu akan dihidupkan semula menjadi orang yang lebih baik,” saya menjawab seusai menutup daun pintu.

“Kalau ada tuah nanti, bolehlah aku jadi Donald Trump!” saya menyambung lagi sambil menghabiskan sisa-sisa milo panas yang baru dibuat sebentar tadi.

“Wah, senang-senang saja boleh jadi kaya ya?” balas Fatimah sambil mengenyitkan matanya. Dia tersengih-sengih.

“Jadi kaya senang tapi tak bahagia. Aku bukan ingat engkau pun nanti,” saya mengeluh.

“Eh, tak bestlah kalau tak dapat ingat semua kenangan indah tu.”

“Itulah pasal. Mesti tak best sebab nanti aku dah tak kenal kau dah Fatimah. Takde dahla orang nak belanja aku makan roti canai,” saya berpura-pura sedih.

“Oh, tengok muka aku ingat roti canai saja ya?” Fatimah membulatkan mata sebelum kami sama-sama ketawa. Sambil itu sempat pula dia mencubit pinggang saya, tanda geram.

“Alah, tak apa Fatimah. Aku bukan percaya sangat la dengan benda macam ni. ” Saya membalas untuk meredakan keadaan. Keropok Super Ring di sisi saya koyak sebelum memakan isi perutnya. Tiba-tiba rasa ingin makan banyak pula hari itu.

“Eh, boleh ke Buddhist tak percaya dengan agama sendiri? Atau kau sudah jadi free thinker?”

Kata-kata Fatimah itu membuatkan saya tidak senang duduk. Memang benar saya kurang percaya pada agama sendiri. Alah, semua ritual keagamaan saya ikuti pun kerana disuruh oleh ibu sedangkan saya tidak rela kerana tidak tahu kepentingannya. Tetapi saya malulah andai orang tahu akan hal ini kerana pasti nanti orang akan memandang serong terhadap saya. Aduh, malang sungguh hari ini terlepas cakap pula!

“Bagaimana dengan kau?Boleh ingat semua benda lepas mati?” saya cuba mengalih perhatiannya.

“Bukan setakat ingat Mei Lei, tapi semua benda yang kami buat akan dipertontonkan di hadapan sekalian manusia nanti. Yang baik, yang buruk, semua akan dibalas dengan setimpal. Siapa yang buat jahat, memang malu besarlah.”

“Nanti?”

“Ya. Nanti – di hari akhirat. Hari akhirat itu akan terjadi apabila dunia ini dah musnah dan waktu itu semua orang akan dihitung amalannya. Kemudian ditentukan sama ada masuk neraka atau syurga.”

Neraka? Syurga? Ah, perkataan itu benar-benar menarik perhatianku.

“Sebab itukah kau orang sanggup mati kerana agama? Kerana mahu masuk syurgakah?”

“Ada sebab yang lebih besar daripada itu Mei Lei. Malahan, kalau tiada syurga pun, aku percaya ramai yang tetap ingin mati demi agama kami,” jawab Fatimah bersungguh-sungguh. Sepertinya dia mahu memanjangkan lagi perbualan.

“Sebab apa?”

“Sebab itu tujuan hidup kami.”

“Eh, tujuan hidup kamu untuk mati ke?”

Fatimah tergelak kecil. Saya mengangkat kening tanda memohon jawapan namun dia tidak menjawab pertanyaan saya sebaliknya berkata;

“Kau tahu Mei Lei, hidup tanpa ada tujuan itu seperti…”

“Seperti bermain golf tanpa ada lubang penamat. Ada kayu dan bola golf tapi tak tahu hendak ditujukan ke arah mana,” tiba-tiba terpacul ayat tersebut dari mulut saya tanpa saya sedari...