Saturday, May 22, 2010

Dikhitbah si dia

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu.

Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada.

Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.


Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini.

Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam.

Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.


Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah (bertunang) apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.


Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"



Aku menjawab tenang..

"Warna putih, bersih..."



"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.


Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah.

”Malam Pertama...” Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.


Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran.

Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.


"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."


Berita itu juga membuatkan beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.


"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah.


Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.


"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..."

Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.


"Jemput ana tau!"

Khalilah tersenyum megah.





"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! "Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.


"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."


Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya.


Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.


"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."


Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.





............ ......... ......... .........








"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. "

"Ya Allah, tenangnya... "

"Moga Allah memberkatinya. ..."


Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.


Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku...

Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi.

Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."




Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab...

"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar. .."

Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut...

"Ini nak, bukunya."

Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan.. ."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.


"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."




* Kisah ini bukan kisah ana , ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *
Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya. .. Arh... Untungnya Insyirah.



~ Kullu nafsin zaa'iqatul maut ~



TAMAT

post dr blog http://husna89.blogspot.com/

Sunday, May 16, 2010

::gila-gila remaja::





Ini bukan post mengenai filem yang ada lagu memburu impian tu .
Sila baca jika ingin tahu , sila tekan Alt + F4 jika tidak ingin tahu .

WANITA IDAMAN

“Man , apa ciri – ciri wanita idaman kau ? “ tanya Din sambil membelek buku Biochemistry Tahun Satu . Dan sepertinya dia kelihatan tidak fokus terhadap pembacaannya .

Teh lemon panas disisip perlahan . Minuman kegemaranku sejak berada di bumi Anbiya’ ini . Lebih enak lagi jika dimakan bersama ish fino serta jam strawberi . Aku memalingkan pandangan aku yang sedang asyik menghayati suasana petang di balkoni . Wajah Din sepertinya dahagakan jawapan dariku .

“Apa kena ni Din , tiba – tiba tanya soalan macam ini pulak , sedarlah , imtihaan dah dekat , kita pulak baru tahun satu , fikiran belum matang lagi , “ aku menjawab dengan nada yang sinis .

Aku sebenarnya sudah lali dengan pertanyaan sebegitu . Perkara ini sering disoalkan dalam website atau blog Islamik oleh para remaja sebayaku . Kenapa tak tanya , apa langkah yang boleh diambil untuk menentang kezaliman Yahudi di Palestin ? Apa sumbangan nak diberi kepada saudara seagama yang sedang bermandi darah mempertahankan kesucian Islam sebagai Ad-Deen ? Atau , paling kurang , apa khabar imanmu , wahai saudaraku ? Namun aku sedar . Islam itu asalnya asing dan akan kembali asing . Aku sendiri pun kurang bertanya mengenai persoalan – persoalan tersebut dek kelemahan imanku . Aku masih belum layak digelar Ghurabaa’ seperti dalam hadith nabi .

“Alah , sekali-sekala Man , lagipun otak aku dah blur dah ni , tak larat dah nak hafal structural formula vitamin semua . Tolonglah jawab Man , aku nak tahu sangat ni ,” Din merayu kepadaku .

Nampaknya aku terpaksa beralah . Kalau aku tidak jawab sekarang , esok lusa , atau paling cepat malam ini pun dia akan bertanyakan perkara yang sama . Dan aku berasa tidak senang sekiranya ia berlaku . Din juga mungkin akan tidak tenteram , dan ia akan menjejaskan fokusnya terhadap pelajaran .

“Baiklah , aku akan jawab sekali sahaja , kalau kau tak dengar nasib kau lah , aku tak akan ulang balik . Ada banyak lagi tanggungjawab dan hak yang kita kena fikir .Hak kita kepada Allah SWT , Rasulullah , agama , ibubapa dan negara . Ingatlah , dalam kehidupan ini kita kena sentiasa lebihkan orang lain dari kita sendiri . Jadilah seorang manusia yang bermanfaat . “

“ Wanita idaman aku sudah tentunya seorang wanita yang solehah , yang saling melengkapi hidup sebagai sayap kiriku , yang dapat memahami diriku , yang sentiasa bersamaku tatkala susah atau senang , yang menjadi teman tahajjudku , yang menjaga kehormatan dirinya di hadapan yang bukan mahram , taat dan takut pada suruhan Allah , mengamalkan sunnah Rasulullah , cantiknya pada pandangan mataku…”

“Kau nak yang berpurdah ke tak ? “ Din mencelah .

“ Haish , apalah kau ni Din , menyampuk tak bagi salam . Bagi aku , dia hendaklah menutup auratnya dengan lengkap dahulu kerana itu adalah perkara yang wajib . Berpurdah itu umpama satu bonus untuknya . Dan hendaklah dia berpurdah itu semata – mata mengabdikan dirinya kepada Allah SWT , bukan untuk menunjuk – nunjuk dan sebagainya .

Din mengangguk . Buku Biochemistry diletakkan di tepi . Nampaknya dia tidak jadi untuk mengulangkaji pada petang tersebut . Aku memang mengkhususkan masa pada waktu petang untuk berehat . Waktu begini tak banyak yang mampu diserap oleh otak . Selalunya pada masa sebegini aku akan melayari internet , tetapi oleh sebab hawa panas pada petang tersebut , aku memutuskan untuk minum sambil bersantai sahaja .

WUJUDKAH LAGI WANITA SOLEHAH ?

“ Tapi kan , kau rasa wujud lagi tak wanita yang ada sifat – sifat yang kau sebut tadi ? Yalah , sekarang ini boleh kata semua orang ada Facebook , sibuk tayang muka mereka di internet , tak cukup dengan itu , video pun ada . Lepas itu bergaul dengan lelaki secara tak syari’e . Lelaki pulak , sibuk “save” gambar mereka untuk kegunaan peribadi. Apa pendapat kau ? kata Din .

Aku menghabiskan tegukan terakhir minumanku . “ Aku percaya , jika ada orang jahat , sudah tentu ada orang baik . Allah sudah berfirman , lelaki baik untuk perempuan baik , lelaki jahat untuk perempuan jahat . Jadi , untuk mendapatkan wanita yang solehah , aku kena didik diri aku untuk menjadi soleh , bina fardhu muslim dahulu , baru bina baitul muslim .”

“ Facebook itu tiada salahnya selagi kita gunakan untuk tujuan yang baik , tetapi sekarang ini nampaknya ada lebih banyak keburukan berbanding kebaikan . Sama seperti arak , ia dapat memanaskan badan manusia , tetapi sedikit arak pun boleh memabukkan manusia , ia diharamkan . Namun aku tak berani nak menyatakan bahawa Facebook itu haram , kerana aku bukanlah ulama’ . Ulama’ sendiri pun bimbang jika ditanyakan persoalan yang susah untuk dijawab kerana jawapan mereka itu boleh jadi perkara yang mendekatkan diri mereka pada syurga , ataupun selangkah ke neraka . Pada pendapat aku , selagi benda itu digunakan untuk tujuan yang baik dan menyingkirkan segala elemen yang boleh membawa kepada maksiat seperti bergaul bebas , kita boleh gunakan . Tetapi sekiranya kita rasa tak boleh nak kawal diri kita , eloklah kita tinggalkan . Aku bukan menuding jari kepada pihak perempuan sahaja , lelaki pun lebih kurang sama juga . “

BAGAIMANA ?

Aku menuju ke dapur , meletakkan gelas ke dalam sinki lalu dibasuh . Din masih duduk di ruang tamu , meneguk susu yang sudah suam . “ Man , cepatlah , banyak lagi benda yang aku nak tanya ni , “ dia memanggilku .

“ Aduh , apa lagi kau nak tanya ni , tak puas lagi ke ? “ aku merungut .

“ Contohnya , kalau kau nak cari wanita idaman itu , bagaimana caranya ?” Dia menjawab .

“ Begini ,” aku duduk di atas sofa lama di ruang tamu tersebut . “ Kan kita sudah sedia maklum , yang kita telah ditetapkan dengan 3 perkara sejak kita berada dalam rahim ibu lagi , iaitu rezeki , ajal maut dan juga jodoh . Perkara itu dah tetap dan tak akan berubah . Jadi , buat apa kita nak bimbang tentang apa yang Allah janjikan untuk kita ? Sesungguhnya Allah tidak mengingkari janjiNya . Lebih baik kita bimbang tentang apa yang kita belum pasti dapat lagi , iaitu keredhaanNya dan syurgaNya . Lain pula dengan dunia sekarang . Ramai orang mengejar yang sudah pasti berbanding yang belum pasti . Ramai orang kejar keduniaan berbanding akhirat . Ramai yang meluangkan masa untuk bekerja keras dalam pekerjaan mereka mahupun mengulang kaji , tetapi mereka lupa untuk meluangkan masa untuk bertahajjud kepada Allah di malam hari . Janganlah kita menjadi seorang yang bekerja keras pada pagi hari seperti himar , dan tidur mati seperti bangkai pada malam hari dengan tidak bertahajjud . Memanglah tak salah untuk berusaha , tapi pandai – pandailah bahagikan masa . Allah juga menuntut kita untuk berusaha , kerana kalau tidak berusaha , kita tak sampai kepada rezekiNya .”

“ Merujuk kepada soalan kau , aku rasa tak usahlah kita bimbang sangat pasal soal mencari jodoh . Islam telah menetapkan cara –caranya untuk meminang dan sebagainya , jadi lebih baik kau tanyakan kepada yang lebih pakar . Tak perlulah risau kerana setiap orang sudah ditetapkan jodohnya . Macam aku cakap tadi , buat apa nak risau dengan benda yang sudah pasti kita dapat ? Tak perlulah dengan couple sebelum nikah , mengorat , “stalk” dan sebagainya . “ aku menjawab .

“ Kenapa kau rasa couple sebelum nikah itu salah ? Bukankah itu salah satu jenis usaha jugak ke ?” tanya Din , wajahnya menampakkan kemusykilan .

Aku tidak hairan . Soalan sebegitu sudah selalu diperkatakan .

“ Tiada yang menghalalkan hubungan bukan mahram kecuali dengan perkahwinan , Din . Couple sebelum nikah itu dapat mendekatkan diri kita dengan perkara maksiat . Walaupun hanya ber YM mahupun SMS , masih lagi ada zina hati . Cuba kau fikir Din , kau suka tak kalau saudara perempuan kau berzina ? Tentu kau marah kan ? Aku faham , aku sendiri pun ada nafsu terhadap wanita , aku bukanlah malaikat . Tetapi aku percaya , setiap benda yang Allah larang ada hikmahnya . Jalan menuju ke syurga penuh dengan dugaan , jalan ke neraka penuh dengan hawa nafsu . Bagi aku juga , couple ini membuatkan kita hipokrit dengan “pasangan” kita , kita akan selalu menampakkan sifat yang terbaik kepada dirinya , walhal kita bukanlah sebegitu . Cuba mengaku alim lah . Beriman lah . Fikirkanlah , orang yang alim mahupun beriman tidak mengaku dirinya sebegitu , malah tidak terlibat dengan hubungan haram sebegini . Jangan lawan nafsu dengan nafsu , sebaliknya lawanlah nafsu dengan agama . Kalau dah mampu , berkahwinlah . Kalau belum mampu , berpuasa sebagaimana yang dianjurkan oleh nabi .”

BILA LAGI ?

“ Man , aku puas hati dengan jawapan yang kau bagi , tetapi aku nak tanya satu soalan akhir : bila kau nak kahwin ? “ Dia bertanya sambil tersenyum .

“ Din , perkahwinan itu bukan perkara main – main . Perkahwinan ibarat satu bahtera , dan kau lah nakhodanya . Tanggungjawab kau untuk melayarkan bahtera itu menuju destinasi . Memanglah , perkahwinan itu dapat menjauhkan kau dari zina , namun selepas perkahwinan pelbagai tanggungjawab yang kau dapat . Kau nak fikir itu , ini . Sejujurnya , aku tak tahu bila masanya untuk aku upgrade status aku dari Single kepada Married . Masih banyak lagi perkara yang aku harus lakukan dan fikirkan . Seperti sekarang ,aku sedang belajar . Aku sedang menunaikan hak aku kepada ibubapa , agama dan negara . Aku nak jadi seorang yang banyak menyumbang . Namun , jika ditakdirkan jodoh aku sampai semasa aku masih belajar , aku redha . Buat masa sekarang , aku cuma perlu bersabar , dan istiqamah menjauhkan diri aku dari perkara maksiat . Aku ingin mencontohi sikap Yusuf yang berjaya menahan godaan Zulaikha , dan untuk mencapai perkara tersebut , aku kena tingkatkan hubungan aku dengan Allah SWT . Wallahualam . “

Din mengangguk . Sepertinya dia puas hati dengan jawapanku .

“ Wah , mantaplah jawapan kau ni Man , aku rasa kau patut ambil pengkhususan dalam bidang macam ini lah . Jadi Dr. Cinta . Haha . “ kata Din sambil ketawa .

“ Din , sebelum tapak kaki aku memanjat ke muka kau , lebih baik kau pergi masuk tandas , ambil wuduk . Dah nak dekat maghrib ni . Cepat . Nanti lewat ke masjid .”

::kurenai-san::
ad – daqahliyyah , mesir

*entry dr http://remaja4jihad.blogspot.com/

Aisyah Chan Mei Lei 4



SATU

Berdebar-debar saya menanti reaksi ayah. Tatkala saya memberitahu khabar mengenai status saya tadi, wajah ayah berubah merah menahan marah. Ibu terdiam membatu manakala Kok Kent pula terus bangun dan masuk ke dalam bilik.

Ya Allah, kuatkan saya…

“Kemas barang kamu sekarang. Tiada apa lagi yang tinggal buatmu di sini,” ayah menjawab ringkas. Saya memandang ibu. Cuba untuk mencari simpati namun ibu masih pegun. Maka dengan berat hati, saya masuk ke bilik, mengemas barang dan melangkah meninggalkan rumah dengan perasaan yang bercampur-baur.

“Biasanya itulah yang akan terjadi. Akak dahulu pun sama. Keluar dari rumah hanya dengan beg baju dan wang RM10. Memang rasa macam hidup ni dah berakhir. Tapi mujurlah Allah sudah mempersiapkan akak dengan seorang ustazah yang menjadi ibu angkat akak. Jadi, malam-malam seterusnya akak menumpang di rumah ibu angkat akak itu,” kata Kak Sumayyah ketika saya bermalam di rumahnya.

DUA

Sebenarnya setelah peristiwa dialog bersama Fatimah itu berlalu, fikiran saya diketuk dengan bermacam persoalan. Demi merungkaikan kekusutan di minda, saya mencari sendiri jawapan. Pernah sekali, saya bertanya pada rakan sekuliah saya, Sylvia mengenai Kristian.

“Kau percaya dengan Jesus?”

“Apa beza Jesus dan Nabi Isa?”

Juga beberapa soalan lain yang saya sudah tidak ingat.

“Kau beri aku masa dulu. Nanti aku tanya pada pengkhutbah yang aku kenal. Mereka pasti tahu pasal konsep Trinity itu.”

Malangnya beberapa pertemuan kami selepas itu juga tidak mencapai objektifnya iaitu untuk merungkai segala persoalan dalam diri saya. Malah, membuatkan lebih banyak sarang teka-teki yang berserabut.

Beberapa minggu selepas itu, Fatimah membawa ibu saudaranya berjumpa saya kerana saya ingin mendapatkan sedikit penjelasan mengenai Islam. Semuanya terjadi setelah Fatimah membaca tulisan saya di blog.

“Aku sudah pergi ke gereja dan ke kuil. Aku sudah berjumpa para sami Buddha. Aku sudah membaca terjemahan Bible. Aku sudah bersoal-jawab dengan kawanku. Malangnya, aku hanya tertarik pada yang satu itu – yang aku abaikan selama ini kerana prejudisnya aku terhadap penganutnya. Aku tidak mencari Islam, tetapi entah kenapa Islamlah yang aku sering fikirkan…”

Amat mengagumkan saya, beliau bukan sahaja dapat menjawab persoalan saya tentang Islam malah persoalan mengenai agama lain juga.

“Jesus sendiri menyeru kepada umatnya untuk menyembah Tuhan yang Esa, bukan dirinya. "Jawab Jesus : hukum yang terutama ialah: Dengarlah, hai orang Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa.” Mark, 12 : 29,”(1) balas Dr. Sakinah ketika menjawab beberapa persoalan yang dikemukan.

“Saya hanyalah menyampaikan kebenaran setakat termampu saya. Setiap manusia itu dikurniakan akal untuk berfikir dan hati untuk meyakini,” begitu Dr. Sakinah berkata sebelum kami bersalaman dan berpisah.

TIGA




Fatimah memeluk saya. Kami menangis bersama-sama. Tiada kata yang dapat saya ungkapkan untuk menggambarkan perasaan saya ketika itu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya kerana diberikan taufiq dan hidayah untuk merasai nikmat Islam dan iman.

“Lepas ini aku kena panggil kau apa?” tanya Fatimah sambil tersenyum.

“Apa-apa sajalah. Namaku kan masih Mei Lei. Cuma di depannya saja ada tambahan, jadi Aisyah Chan Mei Lei.”

“Ah, aku panggil Aisyah sajalah ya. Kau kan bijak. Seperti Aisyah r.a, isteri Rasullah,” balas Fatimah, menutup perbualan kami berdua.

Hari itu menjadi hari yang paling bermakna dalam hidup saya walaupun kegembiraannya cuma sekejap. Karenah birokrasi yang membebankan, sikap umat Islam yang memandang pengislaman saya hanya sekadar propaganda jahat dan masalah keluarga yang membenci saya cukup membuatkan 5 tahun pertama saya seperti ribut; ribut yang nikmat