Sunday, May 16, 2010
Aisyah Chan Mei Lei 4
SATU
Berdebar-debar saya menanti reaksi ayah. Tatkala saya memberitahu khabar mengenai status saya tadi, wajah ayah berubah merah menahan marah. Ibu terdiam membatu manakala Kok Kent pula terus bangun dan masuk ke dalam bilik.
Ya Allah, kuatkan saya…
“Kemas barang kamu sekarang. Tiada apa lagi yang tinggal buatmu di sini,” ayah menjawab ringkas. Saya memandang ibu. Cuba untuk mencari simpati namun ibu masih pegun. Maka dengan berat hati, saya masuk ke bilik, mengemas barang dan melangkah meninggalkan rumah dengan perasaan yang bercampur-baur.
“Biasanya itulah yang akan terjadi. Akak dahulu pun sama. Keluar dari rumah hanya dengan beg baju dan wang RM10. Memang rasa macam hidup ni dah berakhir. Tapi mujurlah Allah sudah mempersiapkan akak dengan seorang ustazah yang menjadi ibu angkat akak. Jadi, malam-malam seterusnya akak menumpang di rumah ibu angkat akak itu,” kata Kak Sumayyah ketika saya bermalam di rumahnya.
DUA
Sebenarnya setelah peristiwa dialog bersama Fatimah itu berlalu, fikiran saya diketuk dengan bermacam persoalan. Demi merungkaikan kekusutan di minda, saya mencari sendiri jawapan. Pernah sekali, saya bertanya pada rakan sekuliah saya, Sylvia mengenai Kristian.
“Kau percaya dengan Jesus?”
“Apa beza Jesus dan Nabi Isa?”
Juga beberapa soalan lain yang saya sudah tidak ingat.
“Kau beri aku masa dulu. Nanti aku tanya pada pengkhutbah yang aku kenal. Mereka pasti tahu pasal konsep Trinity itu.”
Malangnya beberapa pertemuan kami selepas itu juga tidak mencapai objektifnya iaitu untuk merungkai segala persoalan dalam diri saya. Malah, membuatkan lebih banyak sarang teka-teki yang berserabut.
Beberapa minggu selepas itu, Fatimah membawa ibu saudaranya berjumpa saya kerana saya ingin mendapatkan sedikit penjelasan mengenai Islam. Semuanya terjadi setelah Fatimah membaca tulisan saya di blog.
“Aku sudah pergi ke gereja dan ke kuil. Aku sudah berjumpa para sami Buddha. Aku sudah membaca terjemahan Bible. Aku sudah bersoal-jawab dengan kawanku. Malangnya, aku hanya tertarik pada yang satu itu – yang aku abaikan selama ini kerana prejudisnya aku terhadap penganutnya. Aku tidak mencari Islam, tetapi entah kenapa Islamlah yang aku sering fikirkan…”
Amat mengagumkan saya, beliau bukan sahaja dapat menjawab persoalan saya tentang Islam malah persoalan mengenai agama lain juga.
“Jesus sendiri menyeru kepada umatnya untuk menyembah Tuhan yang Esa, bukan dirinya. "Jawab Jesus : hukum yang terutama ialah: Dengarlah, hai orang Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan itu esa.” Mark, 12 : 29,”(1) balas Dr. Sakinah ketika menjawab beberapa persoalan yang dikemukan.
“Saya hanyalah menyampaikan kebenaran setakat termampu saya. Setiap manusia itu dikurniakan akal untuk berfikir dan hati untuk meyakini,” begitu Dr. Sakinah berkata sebelum kami bersalaman dan berpisah.
TIGA
Fatimah memeluk saya. Kami menangis bersama-sama. Tiada kata yang dapat saya ungkapkan untuk menggambarkan perasaan saya ketika itu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya kerana diberikan taufiq dan hidayah untuk merasai nikmat Islam dan iman.
“Lepas ini aku kena panggil kau apa?” tanya Fatimah sambil tersenyum.
“Apa-apa sajalah. Namaku kan masih Mei Lei. Cuma di depannya saja ada tambahan, jadi Aisyah Chan Mei Lei.”
“Ah, aku panggil Aisyah sajalah ya. Kau kan bijak. Seperti Aisyah r.a, isteri Rasullah,” balas Fatimah, menutup perbualan kami berdua.
Hari itu menjadi hari yang paling bermakna dalam hidup saya walaupun kegembiraannya cuma sekejap. Karenah birokrasi yang membebankan, sikap umat Islam yang memandang pengislaman saya hanya sekadar propaganda jahat dan masalah keluarga yang membenci saya cukup membuatkan 5 tahun pertama saya seperti ribut; ribut yang nikmat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment