Monday, November 30, 2009

Aisyah Chan Mei Lei 2

[link]

sambungan

“Ibu?” Terpacul perkataan itu dari mulut saya ketika cuba melihat dalam kesamaran malam.

Saya tercengang-cengang. Kaki yang pantas melangkah terhenti tiba-tiba. Fikiran saya seperti terperangkap. Tidak pernah saya melihat ibu menangis begitu.

Saya ingin sangat tahu apa yang terjadi pada ibu namun tidak sampai hati pula saya nak menerjahnya malam-malam. Mungkin sekarang ibu perlukan masa untuk bersendiri. Tak mengapa, esok masih ada.

Pagi itu, saya turun sarapan seperti biasa. Ibu sedang menyiapkan bekal untuk saya bawa ke sekolah manakala Ayah pula sedang minum kopi.

“Ibu, ibu, kenapa ibu menangis semalam?” saya menyoal sambil menyumbat beberapa roti ke mulut. Sejurus saya bertanya, pinggan yang dipegang ibu terjatuh di meja. Mujur sahaja tidak pecah. Kelam-kabut ibu mengemasnya tanpa menghiraukan pertanyaan saya tadi. Tapi saya perasan air muka ibu berubah cuma tidak pasti kenapa. Adakah kerana soalan saya itu? Ah, mulut saya ni terlalu lancang. Saya tidak patut bertanya sebenarnya.

Sepanjang bersarapan, ayah langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku. Selalunya dia akan berleter juga jika ada yang tidak kena namun pagi itu dia senyap sahaja. Namun itu tidaklah pelik bagi saya kerana ayah sememangnya tidak pernah peduli akan orang lain.

Saya menyangka peristiwa semasa sarapan itu terhenti sekadar di situ tetapi saya salah.

Pada sebelah malamnya ketika saya sedang tidur, ayah tiba-tiba masuk ke bilik saya. Dia menolak daun pintu dengan kasar. Wajahnya seperti menahan kemarahan yang teramat.

“Mei Lei!” Ayah menjerit ke arah saya yang dalam keadaan separuh sedar.

“Mei Lei bangun!” kali ini jeritan ayah amat kuat sehingga membuatkan jantung saya seperti terkena kejutan tiba-tiba. Saya terus bangun dan lari ke hujung katil kerana takut. Itulah wajah ayah yang paling menakutkan pernah saya lihat.

Ayah menarik keluar paip getah yang disorok di belakang seluarnya. Ketika itu, saya sudah membayangkan bahawa saya akan mati sahaja. Berkali-kali saya berdoa entah pada siapa supaya mengirimkan saya seorang ibu pari-pari untuk mengeraskan ayah supaya dia tidak membunuh saya.

Belum sempat ayah melibas saya, terdengar bunyi tapak kaki ibu di luar bililk. Dia berlari-lari mendapatkan saya.

“Kamu benar-benar sudah gila!” teriak ibu sambil memeluk erat saya.

“Dia anak sial! Tak patut lahir ke dunia!”

Saya benar-benar tidak mampu bernafas dalam dakapan ibu dan kata-kata ayah itu menambahkan lagi sesak di dada ini.

“Kalau kamu mahu bunuh dia, lebih baik kamu bunuh aku dulu! Dia anak kamu!”

Tangan ayah yang sudah naik menjangkau paras kepalanya tiba-tiba kaku. Ayah menjatuhkan paip getah tersebut lalu terduduk. Beberapa saat kemudian, dia meninggalkan bilik tanpa menoleh sedikit ke arah saya. Ibu masih memeluk saya sambil mengusap ubun-ubun saya untuk menenangkan saya yang menangis ketika itu.

Peristiwa tersebut sungguh memberi kesan terhadap hubungan saya dan ayah. Saya sudah jarang bercakap dengannya kecuali ketika hal-hal kecemasan. Selebihnya saya akan merujuk pada ibu sahaja. Terlalu sukar untuk saya melupakan pengalaman pahit yang membuatkan saya begitu gerun dengan ayah itu.

Beberapa tahun selepas itu, saya berjaya menjejakkan kaki di menara gading dalam bidang pendidikan. Walaupun banyak saudara yang mengumpat saya kerana memilih bidang yang dianggap oleh mereka sebagai tak menguntungkan, saya tetap dengan pendirian saya kerana bukan mereka yang mengawal rezeki saya.

Suatu hari, berlaku kejadian yang benar-benar merubah kehidupan saya 100%. Kejadian yang membuatkan saya mula berfikir mengenai sesuatu.

Semuanya terjadi ketika saya dan rakan, Fatimah sedang menjamu selera di bilik setelah pulang dari membeli makanan di café.

“Kau percaya pada kehidupan selepas mati Mei Lei?” tanya Fatimah sambil meratah peha ayam sambal.

“Masyarakat Buddha percaya bahawa selepas kita mati, kita akan dihidupkan semula.”

“Bagaimana tu? Aku tak faham.”

Baru sahaja hendak menjawab, tiba-tiba perut saya memulas. Ah, terpaksa saya biarkan persoalan Fatimah itu dahulu demi melepaskan hajat yang tak tertanggung ini. ….

No comments: