Saturday, November 21, 2009
Aisyah Chan Mei Lin 1
[link]
Seingat saya, tidak banyak kenangan manis yang dapat saya kongsi bersama ayah. Ayah seorang yang introvert lalu jarang menghabiskan masa bersama keluarga. Selain itu, ayah juga panas baran dan sering memarahi saya menyebabkan saya kurang gemar bermesra dengannya. Kadang-kala saya terfikir juga, tidak adakah sekelumit sabar pun dalam diri ayah kerana yang hanya termampu untuk saya kenang adalah cacian dan hinaan dia terhadap saya, anak kandungnya.
Saya tahu ayah bencikan saya dahulu. Saya boleh lihat pada matanya. Lagipun, perbuatan ayah sendiri sudah cukup menggambarkan segalanya.
Saya masih ingat peristiwa yang terjadi semasa saya berumur 7 tahun. Ketika itu ayah dan ibu bergaduh fasal saya. Ibu ingin memasukkan saya ke sekolah Inggeris manakala ayah pula dengan pilihan sekolah Cinanya. Pilihan saya pula? Tentu sekali sekolah Inggeris kerana saya ingin keluar daripada kepompong kaum Cina. Walaupun saya masih setahun jagung, tetapi fikiran saya jauh lebih dewasa daripada usia. Mungkin kerana pengaruh buku-buku Inggeris yang diperkenalkan oleh Kak Michelle, jiran saya.
“Ah, membazir saja hantar dia ke situ. Dia anak yang bodoh!” lancang mulut ayah berkata. Mungkin dia tidak sedar saya berada di sisi. Tapi bagaimana pula dia boleh kata saya bodoh sedangkan di kala anak-anak Cina lain masih bertatih menyebut A,B,C, saya sudah pun boleh menulis? Sebagai bukti, pak cik Kok Kent selalu memuji saya dengan mengatakan saya anak yang bijak.
Mujur ibu kuat mempertahan. Katanya, jika saya bodoh tentu bapa pun bodoh sebab saya keturunannya. Ayat itu menyebabkan ayah tercengang seketika. Mungkin dia percaya perkara tersebut seperti dia percaya pada sial.
Ah, fikiran orang dahulu memang mudah didoktrinkan kerana mereka kurang ilmu. Lebih-lebih lagi ayah yang tidak pernah bersekolah. Bukan saya mahu mengutuknya, tapi ini adalah hakikat. Ilmu itu sangat penting bagi memisahkan manusia daripada kejahiliyahan. Wahyu pertama sendiri juga bermula dengan ‘Iqra’ yakni bacalah bukan?
Lama bertikam lidah, akhirnya ayah setuju juga. Sempat pula dia menjeling tajam pada saya sambil memberi amaran, “kalau kamu tak belajar betul-betul, aku rotan nanti!” Gerun saya mendengarnya.
Ayat ayah yang berbisa itu saya pegang sebagai satu motivasi untuk saya belajar bersunguh-sungguh. Saya sudah set minda bahawa sekiranya saya lulus, pasti ayah akan menyayangi saya. Maka pada setiap malam saya akan belajar sambil ditemani lampu minyak tanah yang diberikan oleh Mak Cik Poh Yee. Bila difikirkan semula, alangkah terdesaknya saya terhadap kasih-sayang seorang ayah ketika itu.
Setiap hari berlalu seperti biasa. Malam itu pun sepatutnya menjadi malam yang sama seperti sebelumnya. Namun ada sesuatu telah terjadi yang akhirnya meragut ketenangan saya buat beberapa ketika. Ketika itu saya sedang khusyuk menelaah pelajaran tatkala telinga saya menangkap bunyi tangisan di luar. Aneh, siapa pula yang menangis malam-malam buta ini?
Saya mengintai-intai di balik tingkap. Ah, ada seorang wanita di anjung rumah saya! Benar, dia sedang menangis. Saya cuba mengenalpasti gerangan wanita tersebut. Tapi ternyata sukar untuk melihat dengan jelas dalam kepekatan malam. Andai boleh diputarkan masa, mungkin saya akan tutup buku dan tidur sahaja. Namun naluri muda saya ketika itu telah memaksa saya pergi menjenguk di luar. Lalu dengan langkah yang perlahan, saya melangkah keluar dari bilik menuju ke anjung. Tepat ke arah wanita itu.
bersambung..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment